Pelajaran 3 *9-15 Julai : Hari Sabat dan Perbaktian

9 Julai SABAT PETANG   

Bacaan Untuk Pelajaran Minggu Ini: Keluaran 20:11,  Ulangan 5:15, Yesaya 44:15–20, Matius 11:28–30, Roma 6:16–23.

  Ayat Hafalan: “Masuklah, marilah kita sujud menyembah, berlutut di hadapan TUHAN yang menjadikan kita. Sebab Dialah Tuhan kita, dan kitalah umat gembalaan-Nya dan kawanan domba tuntunan tangan-Nya” (Mazmur 95:6, 7).     

Sebagaimana kita telah lihat dalam Pendahuluan, Penciptaan dan Penebusan adalah pusat kepada perkhabaran malaikat pertama dan tema perbaktian. Malaikat pertama memanggil kita kepada “Injil yang kekal,” iaitu berita baik mengenai keselamatan dalam Yesus, keselamatan yang merangkumi bukan sahaja pengampunan terhadap dosa tetapi kuasa ke atasnya. Oleh itu, Injil menjanjjikan kita satu kehidupan baru dalam Kristus, janji mengenai penyucian yang sendirinya merupakan sebahagian daripada proses keselamatan dan Penebusan (Yohanes 17:17, Kisah 20:32, 1 Tesalonika 5:23).

                Sebagaiman kita telah lihat juga, perkhabaran malaikat pertama merangkumi satu peringatan istimewa bahawa satu-satunya yang kita harus sembah ialah Pencipta kita, Dia yang telah mencipta kita dan dunia yang kita diami.

                Oleh yang demikian, apa yang dikaitkan dengan perbaktian ialah tema tentang Penciptaan, Penebusan dan penyucian. Tidak menghairankan bahawa tiga tema ini dinyatakan dalam Sabat, satu unsur penting dalam peristiwa yang digambarkan dalam Wahyu 14, apabila persoalan berhadapan dengan kita semua: adakah kita menyembah Pencipta, Juruselamat dan yang mentahirkan kita atau adakah kita menyembah binatang dan tandanya? Ayat ini tidak meninggalkan kita dengan pilihan ketiga.

                Minggu ini kita akan melihat kepada hukum Sabat dan bagaimana tema ini dinyatakan pada hari tersebut. Sementara kita mempelajarinya, Tanya diri anda sendiri bagaimana kita boleh menjadikan tema ini pusat kepada perbaktian kita?   

       *Sila kaji pelajaran minggu ini untuk persediaan Sabat, 16 Julai.

AHAD            10 Julai

    Penciptaan dan Penebusan: Dasar Kepada Perbaktian

      “Ingatlah dan kuduskanlah hari Sabat” (Keluaran 20:8). Perkataan ingatlah dan peringatan dalam Ibrani datang dari kata dasar Ibrani yang sama iaitu, zkr. Apabila Tuhan berkata, “ingatlah,” Dia sedang memberikan umat itu satu tugu peringatan tentang dua peristiwa besar, yang satu menjadi dasar kepada yang satu.

Berdasar kepada hukum keempat, apakah dua peristiwa ini dan bagaimanakah kedua-duanya berkait rapat? Keluaran 20:11, Ulangan 5:15.

            Peranan Kristus sebagai Pencipta serabut dengan perananNya sebagai Juruselamat dan setiap minggu hari Sabat menyorotkan kedua-dua peranan ini. Bukan setiap bulan, bukan setiap tahun tetapi setiap minggu dan tanpa pengecualian bahawa demikianlah pentingnya hal ini. Dia yang telah membentuk dan menciptakan kita adalah sama dengan Dia yang telah membebaskan Israel dari Mesir dan membebaskan kita dari belenggu dosa.

Sila baca Kolose 1:13–22.  Bagaimanakah Paulus dengan jelas mengaitkan Kristus dalam perananNya sebagai Pencipta dan Penebus?

            Penciptaan dan Penebusan berada pada dasar semua kebenaran Alkitab dan ianya sangat penting sehingga kita telah diperintahkan untuk memelihara hari Sabat sebagai satu peringatan terhadap kebenaran ini. Dari Eden, di mana hari Sabat pertama kali telah diasingkan sehingga hari ini, terdapat manusia yang telah beribadah kepada Tuhan dengan memelihara kekudusan Sabat hari ketujuh.

            Fikirkan seketika betapa pentingnya dua kebenaran ini bagi Tuhan untuk memberikannya kepada kita sebagai satu peringatan mingguan; begitu penting sehingga Dia mengarah kita untuk mengasingkan sepertujuh daripada kehidupan kita dalam satu rehat yang istimewa agar kita dapat lebih menumpukan perhatian kita kepada kebenaran ini. Bagaimanakah cara anda memelihara hari Sabat boleh membantu anda lebih menghargai Kristus sebagai Pencipta dan Penebus?

 ISNIN     11 Julai

    Ingatlah Penciptamu

    Alkitab bermula dengan ungkapan agung, “Pada mulanya Tuhan mencipta langit dan bumi.” Kata kerja “menciptakan” iaitu bara, adalah kata kerja yang merujuk kepada tindakan Tuhan sahaja. Manusia boleh membina benda-benda, membuat benda-benda, mencipta benda-benda dan membentuk benda-benda tetapi hanya Tuhan yang boleh bara. Hanya Tuhan yang boleh mencipta ruang, waktu, bahan dan tenaga – yang kesemuanya menjadi sebahagian daripada dunia yang kita diami. Semuanya ada di sini, hanya Tuhan yang boleh mem-bara-nya.

            Sudah tentulah caraNya melakukannya kekal menjadi satu misteri. Ilmu Sains tidak memahami sepenuhnya apa bahan itu sebenarnya, apalagi cara ia diciptakan dan mengapa ia wujud dalam bentuknya yang sedemikian rupa. Namun apa yang penting ialah bahawa kita harus jangan sekali-kali lupa dari mana ia datang. “Oleh firman TUHAN langit telah dijadikan, oleh nafas dari mulutNya segala tentaranya…. Sebab Dia berfirman, maka semuanya jadi; Dia memberi perintah, maka semuanya ada” (Mazmur 33:6, 9).

            Juga, apabila sesuatu projek siap dilaksanakan, sesetengah orang suka meraikannya. Contohnya, apabila kita membina sebuah bangunan gereja, kita mentahbiskannya kepada Tuhan. Dalam hal yang sama, apabila Tuhan selesai menciptakan dunia, Dia memperingati peristiwa itu dengan mengasingkan satu hari istimewa, iaitu hari Sabat.

Bandingkan Yesaya 40:25, 26; 45:12, 18; Kolose 1:16, 17; Ibrani 1:2 dengan Yesaya 44:15–20, 46:5–7. Apakah perbezaan yang dibuatkan di sini?

            Sejak sengketa besar di antara Kristus dan Syaitan tiba di bumi, musuh itu telah memimpin manusia untuk meragui atau menyangkal kewujudan Tuhan yang sebenar, iaitu Pencipta. Melalui kejahilan terhadap  FirmanNya atau penyangkalan terhadap bukti kuasa penciptaanNya, kepintaran manusia berusaha mencari cara untuk menjelaskan asal usul kita dengan cara lain selain dari Tuhan. Segala bentuk teori telah dikemukakan. Teori paling popular masa kini adalah evolusi, yang menyatakan mutasi rawak dan pemilihan semula jadi sebagai satu sarana di mana semua kehidupan dan mahkluk pintar wujud. Baru-baru ini ada seorang yang mengemukakan satu teori mengatakan bahawa kita adalah satu paparan komputer sahaja dan bahawa kita sebenarnya tidak wujud tetapi sekadar satu ciptaan computer oleh suatu mahkluk asing yang lebih pintar. Dalam pelbagai cara, seseorang boleh mengatakan bahawa dewa kayu yang Yesaya sebutkan, yang disembah oleh pembuatnya sendiri, adalah sama dengan kebanyakan teori tentang asal usul manusia yang sering dipaparkan sebagai ganti kepada Tuhan yang disebut dalam Alkitab.

Jika kita benar-benar menerima hari Sabat sebagaimana dinyatakan dalam Alkitab – iaitu satu peringatan terhadap penciptaan Tuhan yang enam hari lamanya—bagaimanakah kita boleh dilindungi daripada idea palsu tentang asal usul kita? Juga, siapakah yang akan menyembah satu Tuhan yang telah menggunakan proses evolusi yang kejam dan ganas untuk mencipta kita sebagaimana yang diajar oleh sesetengah pihak?

SELASA    12 Julai

Bebas Dari Perhambaan

  Sebagaimana kita sudah lihat, hari Sabat bukan sahaja menunjukkan kepada penciptaan, satu tema penting dalam perbaktian, tetapi juga kepada penebusan. Ulangan 5:15 memberitahu kita, “Sebab haruslah kau ingat, bahwa engkau pun dahulu budak di tanah Mesir dan engkau dibawa keluar dari sana oleh TUHAN, Tuhanmu dengan tangan yang kuat dan lengan yang teracung; itulah sebabnya TUHAN, Tuhanmu, memerintahkan engkau merayakan hari Sabat.” Kata-kata ini sama bunyinya dengan tema penting pada perkhabaran malaikat pertama, iaitu Penebusan dan Penyelamatan. Dan penebusan ini dilambangi oleh apa yang Tuhan telah lakukan dalam zaman Keluaran. Tidak ada dewa di Mesir yang mempunyai kuasa untuk menghalang bangsa hamba abdi ini untuk melepaskan diri dari belenggu mereka. Hanya Tuhan kepada bangsa Israel, yang telah menyatakan diriNya dalam mukjizat yang berkuasa dan kehadiranNya melalui sinaran kemuliaan yang agung yang mempunyai keupayaan untuk membebaskan mereka dengan “tangan yang kuat” dan “lengan yang teracung” (Ulangan 5:15). Tuhan mahu mereka mengingati bahawa Dialah “Tuhan, tidak ada yang lain kecuali Dia” (Ulangan 4:35). Lalu Dia telah memberikan Sabat kepada mereka sebagai satu peringantan kekal tentang pembebasan mereka olehNya dan sebagai peringatan kepada pembebasan kita dari belenggu oleh Kristus.

Sila baca Roma 6:16–23. Apakah janji yang diberikan kepada kita di sana dan hal ini disamakan dengan apa yang Tuhan telah lakukan untuk bangsa Israel di Mesir?

            Perjanjian Baru dengan jelas mengajar bahawa perhambaan kepada dosa menuntut seorang Juruselamat yang berkuasa, pastinya sama seperti perhambaan di Mesir terhadap umat Israel purba. Itulah yang dimiliki oleh bangsa Israel dari Tuhan mereka; itulah juga yang ada pada kita sebagai umat Kristian hari ini, kerana Tuhan yang telah membebaskan mereka daripada belenggu mereka adalah Tuhan yang sama, yang akan membebaskan kita daripada belenggu kita.                         

            Jika kita memerlukan satu alasan untuk menyembah Tuhan, bukankah alasan itu ialah atas pembebasan daripada perhambaan dosa yang Dia sudah menangi untuk kita? Bangsa Israel telah menyanyikan satu nyanyian angung sebaik sahaja mereka dibebaskan. (Sila lihat  Keluaran 15.) Oleh sebab itu, kebaktian Sabat untuk kita seharusnya satu upacara meraikan kasih kurnia Tuhan dalam membebaskan kita bukan sahaja daripada hukuman dosa (yang dijatuhkan ke atas Yesus demi kita) tetapi dari kuasa dosa yang memperhambakan kita.

Apakahmaknanya untuk tidak lagi menjadi hamba kepada dosa? Adakah ia bermakna kita tidak berdosa atau bahawa kadang kala kita tidak lagi berbuat dosa? Paling penting, bagaimanakah anda boleh belajar menerima dan membuat nyata janji pembebasan yang Injil berikan kepada kita?    

RABU        13 Julai

Ingatlah Yang Menguduskan Kamu     

Sila baca Keluaran 31:13. Pada pemahaman kamu, apakah maksud ayat ini? Bagaimanakah ia kekal relevan bagi kita hari ini? Apakah maksudnya untuk Tuhan menguduskan kita? Bagaimanakah kita boleh mengalami proses ini dalam kehidupan kita sendiri?                       

            Penciptaan, Penebusan dan penyucian (Pengkudusan)—semua hal ini adalah berkaitan. Sudah tentulah Penciptaan itu merupakan dasar kepada segala-galanya (kerana tanpanya tidak aka nada yang ditebus dan dikuduskan). Namun dalam keadaan kita yang berdosa, Penciptaan iytu tidak lagi mencukupi; kita memerlukan Penebusan, iaitu janji tentang pengampunan bagi dosa-dosa kita. Kerana tanpanya, kita akan berhadapan dengan kemusnahan kekal dan penciptaan ke atas kita akan berakhir salam-lamanya.

            Sudah tentulah apa yang tidak boleh dipisahkan dengan Penebusan ialah pengkudusan, proses yang kita bertumbuh dalam kesucian dan kasih kurnia dalam kehidupan kita. Perkataan yang diterjemahkan sebagai “menguduskan” dalam Keluaran 31:13 datangnya dari kata dasar sama dengan yang digunakan dalam Keluaran 20:8 apabila Tuhan meminta umat itu memelihara hari Sabat supaya “kudus.” Kata dasar yang sama muncul dalam Keluaran 20:11, yang mengatakan bahawa “memberkati” atau “menguduskan” hari Sabat itu (lihat juga Kejadian 2:3, di mana Tuhan “menguduskan” hari yang ketujuh itu). Dalam semua hal ini, kata dasarnya, qds, bererti “menjadi kudus,” “di asingkan sebagai kudus,” dan “ditahbiskan sebagai kudus.”

            Tuhan telah memanggil Israel dan mengasingkan mereka sebagai umatNya yang kudus, untuk menjadi terang kepada dunia. Kristus memanggil murid-muridNya kepada satu misi untuk membawa Injil kepada dunia. Inti kepada tugas itu ialah kesucian dan sifat dalam diri mereka yang menyebarkan perkhabaran. Injil itu bukan sekadar tidak lagi dihukum kerana dosa kita. Sebagaimana kita telah lihat kelmarin, ianya adalah mengenai bebas dari belenggu dosa-dosa kita. Ianya mengenai menjadi umat baru dalam Kristus dan menjadikan kehidupan kita sebagai saksi hidup terhadap apa yang Tuhan boleh lakukan masa kini untuk kita di sini.

Silabaca 2 Korintus 5:17. Apakah yang Paulus sedang katakan di sini, dan bagaimanakah kita boleh menyamakan ayat ini kepada tema Penciptaan, Penebusan dan hari Sabat? Bagaimanakah perbaktian Sabat kita boleh membantu kita menumpukan kepada tema tersebut? 

KHAMIS  14 Julai

Berehat Dalam Penebusan 

            Penciptaan, Penebusan dan penyucian: ketika memiliki ketiga-tiga hal ini dalam Kristus dan ketiga-tiganya dilambangkan dalam cara yang istimewa melalui berkat-berkat hari sabat.

Dalam Matius 11:28–30, sila baca jemputan Yesus untuk mendapatkan satu istirehat (kelegaan). Bagaimanakah Sabat diserapkan dengan apa yang Yesus katakan kepada kita di sini?

            “Rehat” (kelegaan) yang Yesus berikan kepada manusia termasuklah kelegaan daripada emosi, psikologi dan rohani untuk mereka yang dibebani dengan beban yang berat, termasuklah beban dosa, rasa bersalah dan ketakutan. Disamping keperluan asas manusia untuk mendapat rehat secara fizikal, terdapat juga keperluan yang sama pentingnya bagi minda dan semangat untuk direhatkan – berehat dari bebanan dan tekanan kehidupan seharian. Tuhan membentuk hari Sabat khusus untuk hakikat itu. Kajian telah menunjukkan bahawa produktiviti di tempat kerja sebenarnya meningkatkan dengan adanya istirahat setiap minggu. Membawa satu istirehat kepada rutin biasa kehidupan akan meningkatkan ketajaman mental dan ketahanan fizikal. Seterusnya, hari Sabat memberikan suatu perasaan yang diharap-harapkan untuk membantu mencegah kebosanan dan keletihan.

            Sementara seseorang boleh mengatakan bahawa mereka berhenti dalam Kristus, hari Sabat memberikan kita satu pernyataan kukuh dan fizikal terhadap istirehat yang dimaksudkan itu. Hari Sabat menonjol sebagai lambang terhadap rehat yang benar-benar kita miliki dalam Dia, dalam keselamatan yang Kristus telah sediakan untuk kita.

            Hari Sabat juga memenuhi tahap emosi kehidupan kita. Ia memberikan kita satu kesedaran tentang identiti; kita telah dicipta menurut rupa Tuhan dan kita adalah milikNya kerana Dia telah menciptakan kita.

            Sama seperti Tuhan memberikan institusi perkahwinan di taman Eden demi memenuhi keperluan manusia  untuk keintiman mendatar, maka Dia telah memberikan hari Sabat untuk keintiman menegak di antara Pencipta dan makhlukNya.

            Hari Sabat menjanjikan kepenuhan—apa yang akan terjadi kepada kita melalui pekerjaan pemulihan yang Kristus lakukan. Ia memberikan kita pengharapan tentang masa depan—perhentian Sabat yang akhir dan kekal. Tetapi paling penting daripada segala-galanya ialah bahawa hari Sabat membawa kita ke tahap keperluan manusia yang tertinggi, iaitu keperluan untuk menyembah sesuatu atau Seseorang. Tuhan dalam hikmatNya yang agung telah memberikan Sabat sebagai satu hari yang diasingkan untuk perbaktian, satu hari yang digunakan untuk menghormati dan memuji Dia.

Apakahbebanan yang anda sedang angkat, yang anda perlu berehat daripadanya, dan bagaimanakah anda boleh belajar menyerahkannya kepada Tuhan? Bagaimanakah perjalanan perbaktian sabat anda boleh membantu anda untuk benar-benar belajar berehat dalam Dia?     

JUMAAT  15 Julai

       Kajian Selanjutnya: Sila baca Ellen G. White, “The Creation,” ms. 44–51; “The Literal Week,” ms. 111–116, dalam buku Patriarchs and Prophets; “The Sabbath,” ms. 281–289, dalam buku The Desire of Ages.

         “Tuhan membuat agar pemeliharaan [Sabat] harus menetapkan [Israel] sebagai para penyembah kepadaNya. Ia seharusnya menjadi tanda kepada pemisahan mereka dari penyembahan berhala dan hubungan mereka dengan Tuhan yang sebenar. Tetapi agar dapat memelihara kekudusan Sabat, manusia haruslah menjadi kudus. Melalui iman mereka harus menjadi penenerima bahagian dari kebenaran Kristus. . . . Hanya dengan demikian maka hari Sabat boleh membezakan Israel sebagai penyembah Tuhan.”—Ellen G. White, The Desire of Ages, ms. 283.               “Apabila Tuhan membebaskan umatNya Israel dari Mesir dan menyerahakan hukumNya kepada mereka, Dia telah mengajar mereka bahawa melalui pemeliharaan hari Sabat maka mereka akan dibezakan dari para penyembah berhala. Inilah yang membezakan di antara mereka yang mengakui keagungan Tuhan dengan mereka yang menolak menerima Dia sebagai Pencipta dan Raja mereka.”—Ellen G. White, Testimonies for the Church, vol. 6, ms. 349.

     Soalan Perbincangan:

  1. 1.       Sila ambil masa merenungkan idea bagaimana pemeliharaan Sabat yang sejati boleh melindungi kita daripada pelbagai delusi tentang penciptaan. Misalnya, fikirkan mengenai mereka yang menyembah binatang yang bertentangan dengan mereka yang menyembah Pencipta (sila lihat Wahyu 14). Bagaimanakah pemahaman palsu terhadap asal usul kita – seperti idea bahawa Yesus telah menggunakan proses evolusi untuk menciptakan kita – akan membuat manusia terpedaya pada zaman akhir nanti?
  2. 2.       Sila kembali kepada persoalan tentang hari Sabat dan kebaktian. Bagaimana gereja anda berbakti pada hari Sabat? Adakah terdapat acara kebaktian yang mengunjurkan kepada mengangkat Tuhan sebagai Pencipta, Penebus dan yang menguduskan? Jika tidak, apakah penekanan diberikan? Bagaimanakah kita belajar mengekalkan Tuhan sebagai tumpuan kepada perjalanan kebaktian kita?
  3. 3.       Penciptaan adalah inti utama kepada semua kepercayaan kita. Mengapakah bahawa tidak ada satupun kepercayaan kita sebagai umat Advent kelihatan bermakna selain daripada Tuhan sebagai Pencipta? Penciptaan adalah dasar kepada semua yang kita percayai dan hari Sabat tersulam di dalam cerita asal mengenai Penciptaan. Bagaimanakah hakikat ini boleh membantu menyatakan betapa penting dan mendasarnya hari Sabat itu? Juga, bagaimanakah hal ini membantu kita memahami dengan lebih baik yang di zaman akhir nanti, apabila penguasa-penguasa palsu memaksa suatu perbaktian yang hanya layak untuk Tuhan, maka hari Sabat akan menjadi perkara utama kepada babak terakhir nanti?

 PANDUAN GURU

Ringkasan Pelajaran     

Ayat Utama: Mazmur 95:6, 7

Pelajar Akan:

Mengetahui: Jelaskan hubungan di antara ibadah dengan Sabat, Penciptaan, penebusan dan pengudusan.

Merasakan: Bersukacitalah dalam perayaan Penciptaan, serta pelepasan dan pemulihan yang diluangkan oleh hari Sabat.

Melakukan: Ingatlah hari Sabat dan semua yang digambarkannya sepanjang minggu sebagai landasan iman peribadi kita dan doktrin yang kita landaskan kehidupan kita. 

Garis Panduan Pembelajaran:

 I. Mengetahui: Pencipta, Penebus, Pemulih

  1. Bagaimana hari Sabat dilihat sama ada ke belakang atau ke depan untuk merayakan tindakan penting olehTuhan bagi pihak kita? Apakah di antara tindakan agung ini?
  2. Bagaimanakah pemeliharan kekudusan Sabat berupa satu tanda dan kesaksian kepada mereka yang tidak percaya tentang hubungan kita dengan Tuhan?

 II. Merasakan: Banyak Yang Diraikan

  1. Apakah yang ada pada dunia ciptaan Tuhan yang membawa sukacita kepada kita? Bagaimanakah hari Sabat itu member peluang kepada kita untuk meraikan Ciptaan dan Pencipta?
  2. Bagaimanakah pemeliharaan hari Sabat akan membawa kita lebih dekat kepada JPenebus kita dan mengeratkan hubungan kita denganNya?
  3. Bagaimanakah kita meraikan pengudusan pada hari Sabat? 

 III. Melakukan: Batu Penjuru Yang Kritikal dan Perlindungan

  1. Sementara hari Sabat hanya sekali dalam seminggu, bagaimanakah kepentingannya itu membentuk cara kita melalui kehidupan kita pada hari-hari lain dalam minggu itu?
  2. Apakah aspek dari Penciptaan, Penebusan dan pengudusan yang mendasar kepada aktiviti harian dan falsafah hidup kita?

 Ringkasan: Ibadah Sabat mengabadikan tindakan penciptaan Tuhan, pembebasan kita dari dosa, dan pemulihan kita ke arah kekudusan. Ia merupakan satu kesaksian kepada orang akfir dan alam semesta secara umum mengenai identity kita dan hubungan kita dengan Tuhan.

  Cara Pembelajaran                         

 LANGKAH 1-Mendorong

 KUNCI UTAMA UNTUK PERTUMBUHAN ROHANI: Daru sudut sejarah, hari Sabat telah sentiasa membezakan para penyembah sejati kepada Tuhan. Tindakan agung Tuhan dalam Penciptaan, dan juga janjiNya tentang penebusan adalah terkandung dalam hari Sabat dan kita menunjukkan kepercayaan kita kepada kuasaNya dengan memelihara hukum haris Sabat.

 Hanya Untuk Guru: Sila tekankan pentingnya perhentian dan perbaktian hari Sabat kepada kesejahteraan fizikal, mental dan rohani kita.   

             Kita semua tahu bahawa kita memerlukan latihan jasmani. Berlembar-lembar azam Tahun Baru membuktikan hakikat ini. Kita faham bahawa jika kita inginkan kesihatan yang baik maka kita perlu bekerja untuknya. Perkara terakhir yang kita perlukan ialah masa panjang untuk berehat, bukankah demikian?

            Memang benar bahawa ramai atau kebanyakan orang di Negara-negara maju banyak melakukan pekerjaan sambil duduk dan kurang latihan jasmani. Tetapi adakah kamu sedar bahawa mereka juga kurang tidur? Kebanyakan di antara kita sedar tentang akibat negatif yang datang dari suatu cara hidup yang tidak banyak bergerak. Salah satu daripadanya ialah masalah berat badan; penyakit berkaitan seperti kencing manis jenis 2 dan penyakit koroner dan vaskular muncul dalam ingatan. Tetapi adakah anda tahu bahawa kurangnya tidur juga menyumbang kepada masalah yang sama? Kurang tidur mengakibatkan bertambahnya tahap hormon yang dipanggil kortison. Jika berlebihan, kortison akan menggerakkan tubuh kita untuk menyimpan lebih banyak lemak di bahagian perut. Ia juga menyebabkan tekanan pada organ-organ penting dan membuat kita mudah terkena penyakit yang melemahkan. Semua hal ini boleh dielakkan dengan istirehat tidur yang cukup yang juga merangkumkan latihan jasmani dan pemakanan yang sesuai.

            Oleh  sebab itu, alam semula jadi sendiri menetapkan bahawa kita harus menghabiskan suatu waktu tertentu untuk berehat, jika tidak kita berhadapan dengan risiko kematian dan penyakit pada usia yang muda. Tetapi rehat itu tidak datang secara semula jadi kepada kita.

            Sebagai umat Kristian SDA, kita menyedari satu dimensi rohani sebagaimana digambarkan dalam hukum hari Sabat. Rehat hari Sabat bukan sekadar satu keadaan “bersantai” betepapun ia suatu yang berfaedah. Dengan memelihara hari Sabat, kita mengakui kebergantungn penuh kita kepada Tuhan dalam perbaktian dan kita berbakti kepadaNya dalam cara dan masa sesuai dengan pilihanNya, bukan semestinya pilihan kita.

     Perhatikan Hal Ini: Mengapakah hukum hari Sabat – satu mandat nyata dari Tuhan – sangat disalah fahami, dibiarkan dan dihina oleh sesetengah umat Kristian? Secara peribadi, bagaimanakah kita  boleh membantu orang lain untuk memahami dan menghargainya?

 LANGKAH 2-Mengkaji

 Hanya Untuk Guru: Tekankan hari Sabat sebagai tanda kepada penciptaan dan penebusan kita, juga kepentingannya sebagai suatu waktu khusus yang ditahbiskan kepada Tuhan.

 Ulasan Alkitab

   I. Tidak Perlu Menjadi Orang Yahudi . . .(Imbas kembali  Keluaran 20:8–11 and Ulangan 5:12–15.)

                    Bagi kebanyakan budaya dan agama, masa itu berlaku mengikut putaran: iaitu, apa yang telah berlaku sebelum itu akan terjadi lagi. Walaupun kita tidak menerima suatu pandangan seperti ini tentang alam dan waktu, sebagai contoh, kaum Mayan pernah menganutnya dan orang Hindu masih mengamalkannya, namun adalah mudah untuk mempercayai bahawa “segala sesuatu tetap seperti semula, pada waktu dunia diciptakan” (2 Petrus  3:4).

            Tetapi sebagai umat Kristian dan Advent, kita tahu bahawa dunia mempunyai satu permulaan. Berlaku pada penghujung putaran minggu tujuh hari, hari Sabat wujud sebagai satu peringatan tentang asal usul kita sebagai mahkluk ciptaan Tuhan, yang dicipta menurut gambarnya. Dengan hari Sabat, Tuhan telah menandakan permulaan pada penciptaan zaman sekarang dan ia telah dipelihara sejak hari itu. Fikrikan mengenai semua bentuk pesta atau perayaan peringatan yang lain. Tiada satu di antaranya yang merujuk kembali kepada permulaan dunia kecuali hari Sabat. Inilah satu-satunya yang menunjukkan bahawa hari Sabat itu bukan suatu yang dimiliki oleh orang Yahudi, ia adalah dari Tuhan.

 Perhatikan Hal Ini: Kita telah diberitahu untuk mengingati hari Sabat. Ini tidak bermakna bahawa apabila ia berlaku, kita hanya ingat untuk berhenti bekerja, membeli-belah atau menonton hiburan yang tidak bererti (walaupun sememangnya ia bermaksud demikian). Ia juga mengarahkan kita untuk melihat mengapa kita tidak melakukan hal ini dan mengapa pula kita melakukan hal yang itu. Hari Sabat mengarahkan kita untuk melihat kepada permulaan dan dengan demikian, kepada Tuhan.

  • Ramai orang menganggap hari Sabat sebagai suatu relik purba di masa lampau, sama ada daripada hukum Perjanjian Lama atau suatu ingatan Sabat di masa muda mereka, ketika ia dipaparkan melalui apa yang mereka tidak boleh lakukan. Adakah hari Sabat itu suatu bebanan bagi anda, atau adakah ia satu peringatan kepada kemegahan kuasa penciptaan dan penebusan Tuhan, dan mengapa? Jika ia berupa suatu bebanan, apakah perubahan yang diperlukan untuk anda?

 LANGKAH 3-Menerapkan

 Hanya Untuk Guru: Hari Sabat mengingatkan kita kepada tindakan agung Tuhan demi kita, janjiNya dan perlengkapan yang disediakanNya untuk memenuhi semua keperluan kita. Sila gunakan pertanyaan berikut untuk menekankan kepentingan Hari Sabat terhadap apa juga pengalaman sepenuhnya yang kita inginkan tentang kedamaian dan penebusan yang diberikan kepada kita oleh Tuhan. 

 Soalan Renungan:

  • Apakah kewujudan hari Sabat, hari yang sama setiap minggu, katakan kepada kita mengenai keobolehpercayaan dan kestabilan Tuhan dalam dunia yang banyak mengandungi hal-hal yang berubah-ubah dan sementara?
  • Jelaskan bagaimana semua tindakan Tuhan – Penciptaan, pengkudusan dan Penebusan – digambarkan dalam pemeliharaan Hari Sabat.

 Soalan Penerapan:

  • Pemeliharaan hari Sabat seringkali dipaparkan sebagai sesuatu yang berdasar kepada peraturan undang-undang. Apakah kriteria yang anda gunakan – atau tolak, jika perlu – untuk menentukan apa yang menghormati dan tidak menghormati Tuhan sebagai satu aktiviti hari Sabat? Bagaimanakah anda boleh mengekalkan kesucian hari Sabat?
  • Bagaimanakah hari Sabat itu boleh mengingatkan anda tentang kehadiran Tuhan dan yang terutama dalam segala perkara?

 LANGKAH 4-Mewujudkan

 Hanya Untuk Guru: Pemberian hari Sabat merupakan satu pemberian tentang satu tempat dalam waktu yang dikuduskan di mana kita tidak mempunyai hal-hal lain yang dilakukan melainkan menghormati Tuhan atas apa yang Dia telah lakukan (Penciptaan), apa yang Dia sedang lakukan (penyucian) dan apa yang dia akan lakukan (Penebusan). Tekankan hal itu dalam cara apabila kita memasuki perhentian hari Sabat kita sedang memasuki satu tempat yang berbeza serta suatu waktu yang berlainan.

            Sila bawa sebuah beg pakaian dan beberapa benda ke dalam kelas (pakaian, dan sebagainya – sebarang peralatan yang seseorang ingin bawa ketika pergi ke tempat jauh). Sila muatkan benda-benda tersebut dalam beg. Tanya ahli kelas anda apa yang mereka ingin bawa bersama ketika melakukan perjalanan yang jauh danmemakan masa yang lama. Mungkin anda boleh bahagikan kertas agar mereka boleh membuat senarai mengenai benda-benda tersebut.

            Lalu buat penekanan bahawa kita harus menganggap hari Sabat sebagai satu tempat yang jauh berbeza serta suatu bahagian tertentu dalam minggu. Bagaimanakah kita boleh menghormati hari sabat jika kita memikirkannya sebagai suatu tempat yang kita akan pergi? Minta ahli kelas tentang cara persediaan mereka jika memikirkan hari Sabat dalam cara seperti ini.

 Alternatif: Anjurkan satu perbincangan tentang apa maknanya hari Sabat kepada kehidupan individu dalam kelas anda. Pernahkah mereka mengorbankan sesuatu kerananya, seperti kehilangan pekerjaan atau jemputan menghadiri suatu pertemuan sosial? Adakah hari Sabat itu suatu yang melegakan dan jika ya, mengapa? Adakah ia berupa sumber kepada lebih banyak tekanan? Bagaimanakah kita boleh memperbaiki pemeliharaan kita terhadap hari Sabat dan memiliki berkat yang Tuhan ingin kita miliki daripadanya?

About Sekolah Sabat Bahasa Melayu - Sabah

Penterjemah Sekolah Sabat untuk Misi SDA Sabah.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s