Pelajaran 2 *2-8 Julai Penyembahan dan Zaman Keluaran: Memahami Siapa Tuhan

SABAT PETANG 2 Julai  

Bacaan Untuk Pelajaran Minggu Ini: Keluaran 3:1–15; 12:1–36; 20:4, 5; 32:1–6; 33:12–23.

Ayat Hafalan: “Akulah TUHAN, Tuhanmu, yang membawa engkau keluar dari tanah Mesir, dari tempat perbudakan. Jangan ada padamu Tuhan lain di hadapan-Ku” (Keluaran 20:2, 3).

Ketika berbicara kepada seorang wanita di tepi sebuah perigi, Yesus telah berkata, “Kamu menyembah apa yang tidak kamu kenal, kami menyembah apa yang kami kenal, sebab keselamatan datang dari bangsa Yahudi” (Yohanes 4:22). Bayangkan, menyembah sesuatu yang anda tidak ketahui. Dalam satu pengertian, itulah yang telah dilakukan oleh hampir seluruh dunia, atau mungkin sedang lakukan sekarang, iaitu menyembah sesuatu yang mereka tidak kenali. Apabila anda melihat seseorang yang sedang tunduk dan menyembah sebongkah batu dengan harapan ia akan menjawab doa mereka maka kamu sedang menyaksikan seseorang yang sedang menyembah sesuatu yang dia tidak kenali. Iaitu, mereka menyembah sesuatu yang pada pendapat mereka akan membawa keselamatan tetapi tidak. Dalam konteks yang lebih moden, mereka yang mendewakan kuasa, wang, kemasyuran dan diri sendiri juga sedang menyembah sesuatu yang mereka tidak kenal. Mereka menyembah sesuatu yang tidak boleh menyelamatkan mereka.

                Dalam konteks Kristian, kemungkinan pertanyaan kita ialah: Adakah kita tahu apa yang kita sedang sembah? Adakah kita kenal Tuhan yang kita berikan pujian dan penghormatan dengan lidah kita? Siapakah Dia? Apakah namaNya? Bagaimanakah keadaanNya?

                Minggu ini kita akan melihat kepada cerita awal tentang bangsa Israel dan bagaimana pelbagai pertemuan mereka dengan Tuhan menyatakan kepada kita lebih banyak hal mengenai sifat dan tabiat Tuhan yang kita akui sebagai yang kita layani dan sembah. Kerana, apakah ertinya menyembah sesuatu yang kita tidak kenal? 

*Sila kaji pelajaran minggu ini untuk persediaan Sabat, 9 Julai.

 AHAD       3 Julai Tanah Yang Kudus

             Sememangnya hal itu menghairankan Musa, yang tinggal di padang gurun, untuk melihat semak yang sedang terbakar. Kejadian itu mungkin bukan suatu yang menakjubkan; kemungkinan dia pernah melihat kejadian seperti itu sebelum ini. Namun, apa yang besar kemungkinan dia tidak pernah lihat sebelum ini ialah semak yang sedang terbakar itu tidak hangus: ia terus-menerus terbakar. Pada saat itu Musa menyedari bahawa dia sedang menyaksikan suatu “penglihatan yang hebat,” suatu yang menakjubkan dan malah suatu yang luarbiasa.

Sila baca Keluaran 3:1–15. Apakah unsur-unsur dasar pada penyembahan sejati yang boleh dilihat dalam ayat-ayat ini?

            Sejak dari mulanya kita melihat di sini sesuatu yang kudus pada Tuhan dan cara tingkahlaku yang kita perlu untuk menghampiri Dia. Tuhanlah yang memberitahu Musa untuk menanggalkan kasutnya kerana tempat itu adalah tanah yang kudus. Tuhan sedang membuat satu perbezaan nyata di antara Dia – iaitu Tuhan – dan Musa, seroang yang berdosa yang memerlukan kasih kurnia. Penghormatan, terharu dan takut – inilah tingkahlaku yang penting untuk kita agar dapat melibatkan diri dalam penyembahan yang sejati.

            Satu lagi perkara penting ialah pengalaman ini yang berpusat pada Tuhan. Jawapan pertama Musa kepada Tuhan ialah, “Siapakah aku maka aku yang harus pergi?” Tumpuannya ialah pada dirinya sendiri – keperluan, kelemahan dan ketakutannya. Namun, tidak lama selepas itu, dia berpindah dari dirinya sendiri kepada Tuhan dan apa yang Tuhan akan lakukan.  Betapa penting bahawa semua bentuk penyembahan haruslah berpusat kepada Tuhan, bukan pada diri kita sendiri.

            Hal itu membawa kepada satu lagi unsur penting dalam penyembahan: iaitu mengenai keselematan dan pelepasan. Pelepasan dari Egypt telah telah berdiri sebagai satu lambang untuk penyelamatan yang semua kita miliki dalam Kristus (1 Korintus 10:1–4). Tuhan tidak menampakkan diriNya kepada Musa untuk sekadar membuat diriNya dikenali. Dia muncul kepada Musa agar dapat membuat dia mengetehaui tentang pekerjaan pelepasan yang besar, yang akan dia lakukan untuk umat Israel. Dalam cara yang sama, Yesus tidak datang ke dunia ini untuk sekadar mewakili Tuhan dan membantu kita agar lebih mengenali Dia. Tidak, Yesus telah datang untuk mati ganti dosa kita, untuk menyerahkan nyawanya sebagai tebusan, untuk mati di kayu Salib demi kematian yang layak kita terima. Sudah tentu melalui kematianNya kita mengenali lebih banyak mengenai sifat Tuhan tetapi pada umumnya Yesus telah datang untuk membayar upah bagi dosa kita dan dengan demikian memberikan kita pelepasan yang sebenar, iaitu pelepasan yang dilambangkan sebahagiannya oleh apa yang Tuhan telah lakukan dalam membebaskan bangsa Israel dari Mesir.

Berapa banyakkah masa yang anda gunakan untuk merenung kepada Salib dan penebusan yang telah diberikan kepada kita melalui Kristus? Atau adakah anda mengambil lebih banyak masa untuk memikirkan hal-hal lain yang tidak boleh menyelamatkan anda? Apakah implikasi pada jawapan anda?

 

ISNIN                           4 Julai Kematian Anak Sulung: Paskah dan Penyembahan

        “Maka haruslah kamu berkata: Itulah korban Paskah bagi TUHAN yang melewati rumah-rumah orang Israel di Mesir, ketika Ia menulahi orang Mesir, tetapi menyelamatkan rumah-rumah kita.” Lalu berlututlah bangsa itu dan sujud menyembah” (Keluaran 12:27).

            Istilah Ibrani yang diterjemahkan sebagai “menyembah” dalam ayat di atas datangnya dari kata dasar yang bermaksud “tunduk sujud” atau “menundukkan diri.” Istilah itu sendiri hampir sentiasa muncul dalam bentuk perbuatan yang menguatkan maknanya atau menunjukkan satu idea yang berulang. Seseorang pasti boleh membayangkan seseorang yang berulangkali tunduk dan berdiri dalam perasaan hormat, kagum dan bersyukur. Dengan memperhatukan ayat tersebut, sememangnya hal ini tidak sudah untuk melihat.

Sila baca cerita mengenai malam paskah yang pertama dalam Keluaran 12:1–36. Bagaimanakah injil, yang seharusnya berada di pusat kepada semua perbaktian kita, dinyatakan dalam ayat ini?

            Kecuali ditutupi dengan darah, umat Israel berkemungkinan akan kehilangan anak sulung mereka. Bagi mereka anak sulung,  (yang selalunya merujuk kepada anak lelaki yang sulung) memiliki keistimewaan dan tanggungjawab yang istimewa, yang kemudiannya digantukan oleh orang Lewi (Bilangan 3:12). Bangsa Israel itu sendiri dianggap sebagai “anak sulung” Tuhan (Keluaran 4:22), yang menunjukkan hubungan istimewanya dengan Pencipta. Dalam Perjanjian Baru, Yesus telah disebutkan sebagai “Anak sulung” (Roma 8:29; Kolose 1:15, 18).

            Walaupun di sini anak sulung telah di selamatkan, namun realitinya, Kristus sebagai “Anak sulung” akan mati, satu kematian yang dilambangkan oleh darah yang disapu pada tiang pintu rumah. Tindakan ini muncul sebagai lambang kukuh terhadap kematian Yesus sebagai kematian gantian. Dia telah mati agar “anak sulung,” dalam erti kata sebenar semua umat Tuhan yang diselamatkan (sila lihat Ibrani 12:23), akan terselamat daripada kematian yang seharusnya layak mereka terima.

            Semasa di Mesir, umat itu telah menuruti tuan mereka kerana takut; kini mereka akan mempelajari makna sebenar penyembahan yang mengalir dari hati yang dipenuhi dengan kasih dan syukur terhadap Dia, yang satu-satunya memiliki kuasa untuk membebas dan menyelamat. Bagaimanakah anda boleh belajar untuk lebih menghargai dan mengasihi Tuhan? Bagaimanakah dosa boleh melemahkan kasih tersebut?

SELASA    5 Julai Tiada Ilah Lain

            Bayangkan babak ini: Gunung Sinai yang diliputi oleh awan tebal, guntur  bergemuruh, petir memancar, trompet bergema. Orang ramai gementar. Asap tebal memenuhi ruang udara kerana Tuhan bangsa Israel telah turun dalam api di atas gunung kudus (Keluaran 19:16–19). Di tengah-tengah awan dan asap itu Dia telah menyatakan diriNya dalam kemegahan yang mengkagumkan. Lalu suara Penebus mereka telah mengisytiharkan empat hukum yang pertama yang semuanya berkaitan langsung dengan penyembahan.

Tumpukan perhatian kepada Keluaran 20:1–6. Apakah hal-hal penting mengenai penyemabahan yang kita boleh ambil dari ayat-ayat ini?

            Hukum Sepuluh bermula dengan peringatan Tuhan kepada umat Israel tentang pembebasan mereka. Hanya Tuhan, satu-satunya Tuhan yang benar, boleh melakukan hal itu untuk mereka. Semua ilah lain, seperti para dewa orang Mesir, adalah dewa palsu, suatu rekaan manusia yang tidak boleh menyelamat atau membebaskan sesiapa. Para “dewa” ini juga menunjukkan sifat yang mementing diri sendiri, menuntut-nuntut dan selalunya tingkah laku yang tidak bermoral yang memantulkan asal-usul manusiawinya. Betapa satu perbezaan dengan Tuhan, Pencipta dan Juruselamat yang penuh kasih dan pengorbanan diri. Oleh yang demikian, setelah berabad-abad terbenam dalam budaya kekafiran yang berbentuk politeisme mentah, umat Israel perlu mengenali Tuhan mereka sebagai satu-satunya Tuhan mereka yang sebenar, terutama sekarang yang mereka sedang memasuki satu hubungan perjanjian dengan Dia.

Bagaimanakah latar belakang seperti ini boleh membantu kita untuk lebih memahami apa yang Tuhan telah katakan kepada mereka dalam Keluaran 20:4, 5? Juga, bagaimanakah kita boleh mengambil prinsip yang ditunjukkan di sini dan menerapkannya untuk diri kita sendiri hari ini?

            Ellen G. White telah menulis, “Apapun yang kita hargai yang akan mengurangkan kasih kita kepada Tuhan atau mengganggu pelayanan yang seharusnya untuk Dia, maka hal itu kita jadikan ia sebagai dewa.”—Patriarchs and Prophets, ms. 305. Tanya diri anda sendiri: Apakah, jika ada, dewa-dewa dalam kehidupan saya yang bersaing mendapatkan tumpuan, masa, keutamaan atau matlamat saya? Apakah itu dan bagaimanakah saya boleh menyingkirnya?

 

RABU                 6 Julai  “Inilah Tuhanmu . . .”

Sila baca Keluaran 32:1–6 dan jawap pertanyaan berikut:

1) Peristiwa dan pemangkin apakah yang pertama kali membuka laluan kepada pernyataan kuat ini tentang penyembahan palsu? Apalah pengajaran yang kita, sebagai umat Advent, harus ambil daripada hakikat ini?

2) Diperbuat daripada apakah tuhan palsu ini dan apakah yang dikatakannya tentang betapa sia-sianya jenis ibadah seperti ini?

3) Bagaimanakah penyembahan mereka kepada patung ini membezakan penyembahan mereka kepada Tuhan?

            Kemudian “bangunlah mereka dan bersukaria”; mereka “telah rusak lakunya”; mereka “segera juga menyimpang” (Keluaran 32:6–8). Sesuatu yang sukar menggambarkan kekaguman dan penghormatan yang seharusnya ada dalam suatu ibadah yang sejati, bukankah demikian?

            Tidak diragukan bahawa masyarakat majmuk (orang Mesir yang telah memilih untuk menemani bangsa Israel dalam zaman Keluaran atau yang telah berkahwin dengan orang Ibrani) telah mempengaruhi umat itu dan menuntut kepada Harun suatu bentuk serta cara ibadah yang biasa bagi mereka. Apabila Yosua mendengar suara bising dari bawah, dia telah datang kepada Musa dan member tahu Musa dengan sangkaannya bahawa terdapat pergaduhan dalam perkhemahan. Tetapi Musa, yang sekian lama telah tinggal dalam Istana Diraja Mesir mengetahui lebih baik mengapa berlakunya bunyi bising itu sebenarnya. Kemungkinan dia mengenali bunyi kemeriahan yang tidak bermoral – taru menari, muzik yang nyaring, menyanyi, teriakan dan keseluruhan riuh-rendah yang seiring dengan penyembahan mereka kepada berhala. (Keluaran 32:17–22).

            Apabila mereka menyembah Tuhan yang sebenar, mereka melakukannya dengan kerendahan diri dan penuh hormat. Kini, ketika menyembah patung emas anak lembu ini, mereka bertindak seperti binatang liar. Mereka telah “menukar Kemuliaan mereka dengan bangunan sapi jantan yang makan rumput” (Mazmur 106:19,20). Adalah menjadi suatu prinsip sifat manusia bahawa kita tidak bangkit lebih tinggi daripada apa yang kita sembah atau hormati.

Perhatikan betapa cepatnya mereka mengkompromikan kebenaran dalam ibadah. Perhatikan betapa cepatnya budaya tempatan menyerap dan membawa mereka menjahuhi Tuhan yang sebenar. Bagaimanakah kita boleh pastikan bahawa kita, dalam penyembahan kita sendiri, tidak akan termasuk dalam perangkap yang sama?

KHAMIS                      7 Julai  “Tunjukkan Kepadaku KemuliaanMu

            Dalam pengalaman patung emas anak lembu, umat Israel telah mengingkari perjanjian mereka dengan Tuhan; mereka telah mengambil namaNya dengan sia-sia melalui penyembahan mereka yang berdosa dan palasu. Musa merayu kepada Tuhan bagi pihak mereka (Keluaran 32:30–33). Oleh kerana dosa mereka yang dahsyat, Tuhan mengarahkan umatNya yang “tegar tengkuk” untuk menanggalkan perhiasan mereka agar Dia dapat “melihat, apa yang akan Kulakukan kepadamu (Keluaran 33:4, 5). Kepada mereka yang dalam kerendahan diri telah bertaubat, menanggalkan perhiasan mereka merupakan lambang terhadap pendamaian mereka kembali dengan Tuhan (Keluaran 33:4–6).

  Sila baca Keluaran 33:12–23. Mengapakah Musa bertanya apa yang dia telah lakukan kepada Tuhan? Apakah yang Musa ingin pelajari? Mengapakah dia percaya bahawa dia memerlukan perkara tersebut?

            Keinginan Musa untuk melihat kemuliaan Tuhan bukan suatu yang lahir dari keinginan mengetahui atau suatu prasangka awal tetapi lahir dari hati yang dalam, yang lapar untuk menyedari kehadiran Tuhan setelah peristiwa kemurtadan umum itu. Walaupun Musa tidak terlibat dalam dosa mereka, namun dia merasakan tempias dari dosa tersebut. Kita boleh tidak tinggal terpisah daripada anggota lain dalam gereja kita. Apa yang membawa kesan kepada seseorang akan mengesani juga orang yang lain, suatu hal yang jangan sekali-kali kita lupa.

            Lihat dengan teliti pada Keluaran 33:13. Musa berkata kepada Tuhan bahawa dia, Musa, ingin “mengenal Engkau.” Di sebalik semua hal yang Tuhan telah lakukan, Musa menyedari keperluannya, kelemahannya serta ketidakberdayaannya sendiri dan dengan demikian dia mahu satu kehidupan yang lebih dekat dengan Tuhan. Dia ingin mengenali lebih baik Tuhan yang sangat diharapkannya. Betapa suatu hal menarik bahawa beberapa abad kemudian, Yesus telah berkata, “Inilah hidup yang kekal itu, yaitu bahwa mereka mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang telah Engkau utus” (Yohanes 17:3). Dia ingin melihat kemuliaan Tuhan, suatu hal yang membolehkan dia lebih menyedari keberdosaan dan ketidaberdayaannya sendiri dan dengan demikian kebergantungan sepenuhnya kepada Tuhan. Kerana, lihatkan sahaja kepada panggilan apa yang diminta untuk dilakukan oleh Musa; perhatikan kepada cabaran-cabaran yang harus dihadapinya. Tidak hairanlah mengapa dia merasakan satu keperluan untuk mengenali Tuhan.

            Di sinilah juga kita tiba kepada satu perkara yang sangat penting mengenai penyembahan. Penyembahan seharusnya adalah mengenai Tuhan; ia seharusnya mengenai kita dalam kerendahan diri, iman dan penyerahan, yang berusaha agar lebih mengenali Dia dan “jalanNya” (Keluaran 33:13).

Sejauhmanakah anda mengenali Tuhan? Lebih penting lagi, apakah pilihan yang anda boleh ambil yang membolehkan anda mengenali Dia dengan lebih baik daripada sekarang? Bagaimanakah anda boleh belajar beribadah dalam cara yang akan membuat anda lebih menghargai Tuhan dan kemuliaanNya?

JUMAAT  8 Julai

Kajian Selanjutnya: Sila baca Ellen G. White, “The Law Given to Israel,” ms. 303–314; “Idolatry at Sinai,” ms. 315–330; “Satan’s Enmity Against the Law,” ms. 331–342, dalam Patriarchs and Prophets; Mazmur 105:26–45; 106:8–23.

        “Kerendahan hati dan hormat harus menjadi ciri-ciri kepada kelakuan semua orang yang datang ke hadirat Tuhan. Dalam nama Yesus kita boleh datang kepadaNya dengan keyakinan diri, tetapi kita tidak harus mendekati Dia dengan keberanian yang prasangka, seolah-olah Dia berada di tahap sama dengan diri kita sendiri. Terdapat mereka yang menaggap kepada Tuhan yang agung dan maha kuasa serta kudus, … sama seperti menganggap mereka yang setara, atau malah yang lebih rendah. Ada orang yang akan mengendalikan diri dalam rumahNya dalam cara  yang mereka tidak akan  lakukan di ruang pertemuan pemerintah duniawi. Mereka akan ingat bahawa mereka berada di hadapan Dia yang dipuja oleh serafim, di mana para malaikat menutupi muka mereka. Penghormatan terhadap Tuhan haruslah yang tertinggi; semua yang benar-benar menyedari kehadiranNya akan tunduk dalam kerendahan hati di hadapanNya”— Ellen G. White, Patriarchs and Prophets, ms. 252.

        “Penghormatan sejati untuk Tuhan didorong oleh kesedaran terhadap kebesaranNya yang tidak terbatas dan kesedaran terhadap kehadiranNya. Dengan kesedaran seperti ini terhadap Dia yang tidak kelihatan maka setiap hati haruslah teruja sedalam-dalamnya. Waktu dan tempat untuk berdoa adalah kudus kerana Tuhan hadir di situ. . . . Para malaikat, apabila mengungkapkan nama itu, akan menutupi muka mereka. Oleh itu, dengan penghormatan apakah kita, yang telah jatuh dan berdosa ini, harus ungkapkan dari bibir kita!”—Ellen G. White, Prophets and Kings, ms. 48, 49.

Soalan Perbincangan:

  1. 1.  Bincangkan aspek berikut mengenai sifat Tuhan: KedekatanNya kepada kita, kebesaran, keagungan dan kesucianNya. Para ahli teologi merujuk kepada dua konsep ini sebagai kewujudan dan kejangkauanNya. Fikirkan mengenai cara-cara dua kebenaran penting ini boleh ditekankan dan diimbangkan dalam pelayanan perbaktian kita.

2. Apakah pelajaran yang kita boleh ambil daripada cerita sedih mengenai penyembahan Israel terhadap patung emas anak lembu dan akibat serius daripada menyembah dewa-dewa (sama kelihatan atau tidak)? Apakah di antara beberapa berhala yang biasa disembah oleh orang dalam masyarakat anda? Apakah pelajaran yang anda lihat dalam cerita ini untuk gereja hari ini, untuk kita yang sudah sekian lama menanti-nantikan kedatangan Tuhan?

3. Bagaimanakah pula dengan acara kebaktian kita? Bagaimanakah ia boleh membantu kita dengan lebih baik untuk menyedari keagungan, kemuliaan dan kuasa Tuhan? Atau adakah ia kelihatan seolah-olah membawa Tuhan lebih How can they better help us sense the majesty, the glory, and the power of Tuhan? Atau adakah ia cenderung untuk membawa Tuhan turun ke tahap kita sendiri?

4. Apakah maknanya dengan mengenali Tuhan? Jika seseorang bertanyakan kepada anda, “Bagaimanakah anda mengenali Tuhan?” bagaimanakah anda menjawab? Dalam kata lain, bagaimanakah seorang manusia boleh mengenali Tuhan secara peribadi?

 

 

Ringkasan Pelajaran

 

Ayat Utama: Keluaran 20:2, 3

 

Pelajar Akan:

Mengetahui: Bandingkan perbezaan perasaan dan tingkah laku oleh para penyembah di sekeliling patung emas anak lembu dengan perasaan dan tingkah laku para penyembah yang berada di kaki gunung Sinai.

Merasakan: Berikanlah penyembahan yang bersifat rendah kepada Tuhan, dengan menyedari keagungan pemerintahan, kuasa penciptaan dan kesucian kemuliaanNya.

Melakukan: Menghormati Tuhan zaman Keluaran, menghormati dan menyambut pelawaanNya kepada perbaktian.

 

Garis Panduan Pembelajaran:

I. Mengetahui: Hormat atau Pesta Ria?

  1. Menmgapakah sangat penting bagi Tuhan untuk menunjukkan siapa diriNya melalui api, kata-kata bergemuruh dan gempa bumi ketika di Gunung Sinai?
  2. Apa yang membezakan perayaan penuh hormat terhadap kuasa Tuhan yang membebaskan, dari pesta pora hedonistik Israel sebagaimana yang dipaparkan sekitar patung emas anak lembu itu? Bagaimanakah Israel terjatuh ke dalam jenis ibadah palsu seperti ini??
  3. Bagaimanakah godaan yang sama seperti ini muncul kepada kita dan bagaimanakah kita boleh mengawal diri kita daripada penyembahan yang tidak sopan dan palsu ini?

 

II. Merasakan: Layak Disembah

  1. Bagaimanakah Tuhan menyatakan diriNya kepada Musa dan Israel ketika Dia mengajar mereka cara untuk menyembah Dia?
  2. Apakah emosi dan tingkah laku yang muncul daripada kesedaran terhadap kemuliaan, kuasa dan kebenaran Tuhan?

 

III. Melakukan: Pemerintah Agung, Penyelamat Maha Besar

  1. Apakah gambaran dan konsep mengenai Tuhan yang penting untuk dikekalkan dalam fikiran ketika kita menghampiri dia dalam perbaktian?
  2. Bagaimanakah kita menyatakan kesetiaan kita dalam cara yang intim serta terhormat?

 

Ringkasan: Sementara Tuhan secara peribadi telah membebaskan Israel dari Mesir dan menunjukkan diriNya dalam pelbagai cara yang kukuh kepada umatNya, Dia perlukan pengakuan dan penghormatan yang mendalam terhadap sifatNya yang kudus dan luar biasa.

 

Cara Pembelajaran                                 

LANGKAH 1-Mendorong

 

KUNCI UTAMA UNTUK PERTUMBUHAN ROHANI: Ibadah yang sejati bercirikan kesedaran dan pengakuan terhadap kebesaran Tuhan yang tidak terbatas dan keinginan kita untuk lebih mengenali Dia. Penyembah yang benar akan menolak untuk menerima sebarang bentuk pengganti kepada Tuhan yang berupa berhala.

 

Hanya Untuk Guru: Tekankan perbezaan di antara Tuhan dan benda-benda yang kita tergoda untuk meletakkan dalam kehidupan kita sebagai lebih tinggi daripada Tuhan.

            Berhala. Kita semua sudah sedia kenal dengan istilah ini. Jika kita adalah pelajar Alkitab, atau mendengar mereka yang bergelar pelajar Alkitab, kita tahu bahawa perkataan ini merujuk kepada suatu lembaga yang melambang dewa palsu. Sesetangah budaya atau agama berpendapat bahawa kuasa itu terletak pada patung itu sendiri; yang lain berpendapat bahawa ia adalah saluran di mana para dewa akan menyatakan diri mereka kepada penyembah. Namun hal yang penting adalah bahawa berhala  hanyalah sebentuk artifak buatan manusia yang tidak mempunyai kepentingan sebenar di luar daripada imaginasi, tahyul, atau salah faham pembuatnya.

            Namun perkataan idola juga digunakan dalam pelbagai cara. Contohnya, ia digunakan dalam tajuk rancangan TV yang popular di kebanyakan Negara. Seseorang yang sangat diminati disebut sebagai “idolaku.” Sudah tentu itu hanya kiasan sahaja, atau secara aneh suatu yang diingini olehnya sendiri. Tetapi hal sebenarnya ialah bahawa ia sememangnya mendorong kita untuk meletakkan pemujaan dan kepercayaan kita kepada benda-benda yang tidak berkekalan seperti kita. Sementara dalam realitinya kita tidak didorong untuk beribadah kepadanya, sesetengah di antara emosi yang berkisar pada hal-hal seperti ini pastinya kelihatan dan dirasakan sama seperti suatu bentuk penyembahan. Boleh dikatakan bahawa hakikat ini cenderung melemahkan keinginan dan kemahuan untuk benar-benar menyembah Tuhan.

            Dalam Kitab Keluaran kita melihat perbuatan Tuhan yang luar biasa, satu-satuNya yang layak disembah. Kita juga melihat kecenderungan manusia untuk menggantikan Tuhan dengan benda-benda lain yang mengakibatkan kebingungan dan kesedihan.

 

Perhatikan Hal Ini: Apakah yang diperlukan agar dapat mengekalkan tingkah laku yang sesuai terhadap Tuhan dan kesedaran yang betul tentang siapa dan apakah Dia? Bagaimanakah hal-hal di dunia ini boleh mengikis penghormatan dan ibadah yang seharusnya kita sediakan untuk Tuhan sahaja? Bagaimanakah kita boleh kekalkan keutamaan kita dalam keadaan yang teratur?

 

LANGKAH 2-Mengkaji

 

Hanya Untuk Guru: Sila tekankan perbezaan di antara sifat sebenar penyembahan yang betul sebagaimana di lihat dalam pengalaman Musa di Gunung Horeb (Keluaran 3:1–15), dengan apa yang dinyatakan dalam penyembahan dewa-dewa palsu (Keluaran 32:1–6).

 

Ulasan Alkitab

I.    “AKULAH AKU telah mengutus aku kepadamu.(Imbas kembali  Keluaran 3:1–15.)                                               

 

            Pertama kali Tuhan menunjukkan diriNya kepada Musa adalah dalam bentuk yang sangat sederhana: serumpun belukar. Belukar yang kebetulan sedang terbakar. Dalam kawasan kering seperti ini sudah tentu kebakaran kerap terjadi. Api merupakan cara alam semulajadi untuk menghapuskan tumbuh-tumbuhan yang telah mati bagi membolehkan tumbuh-tumbuhan lain hidup, Tetapi serta merta Musa melihat suatu yang tidak biasa terjadi: belukar itu tidak hangus di bakar. Ia merupakan satu penghinaan terang-terangan kepada hukum ilmu termodinamik, yang sudah sedia difahami oleh orang purba sekalipun. Setelah mendapat perhatian Musa, kini Tuhan akan bekerja dalam cara yang istimewa bersama dengan hambaNya.

            Tuhan telah menciptakan belukar, dan juga api, dan Dia telah menciptakan hukum yang mengawal hubungan di antara dua bahan ini. Tetapi Tuhan adalah lebih besar daripada hukum ini. Dan jika Dia mahu, Tuhan boleh membatalnya secara menyeluruh, dan hal inilah yang dilakukannya.

            Musa suda sedia maklum dengan hal-hal yang biasa berlaku: belukar yang terbakar. Tetapi pada peristiwa ini dia telah melihat dua  Namun dalam hal ini dia melihat dua fenomena alam bertindak dalam cara tidak wajar, cara yang menunjukkan kehadiran Tuhan. Tuhan telah muncul di tengah-tengah ciptaanNya maka pelbagai perkara ganjil telah terjadi. Tindak balas semula jadi ialah menyembah. Musa harus di beritahu untuk menanggalkan kasutnya, tetapi dia tidak perlu diberitahu untuk menundukkan dirinya.

            Hari ini, apabila kita berbakti, ia selalunya suatu peristiwa yang sudah dijadualkan. Ia jarang sekali terjadi akibat dari ledakan spontan terhadap kehadiran Tuhan sebagaimana yang dialami oleh Musa.  Kita pergi ke gereja pada masa yang sama setiap minggu. Atau kita tetapkan masa kebaktian untuk peribadi dan keluarga. Walau dengan tujuan terbaik sekalipun, maka adalah mudah untuk membolehkan kebaktian itu menjadi sekadar rutin. Tetapi kita perlu sentiasa ingat bahawa penyembahan yang sebenar adalah tempat kita bertemu Tuhan di tengah-tengah realiti biasa dan mengakui bahawa hal itu sebenarnya bukanlah suatu perkara yang biasa. Ibadah mengingatkan kita bahawa Tuhan adalah pusat kepada realiti yang biasa, dan bahawa realiti ini – dan kita sendiri – sememangnya sangat bergantung kepadaNya.

 

Perhatikan Hal Ini: Bagaimanakah Tuhan menunjukkan diriNya dalam kehidupan anda setiap hari? Apakah cara anda menghormati dan berterima kasih keatas kehadiranNya?

II. Patung Emas Anak Lembu  (Imbas kembali  Keluaran 32:1–6 bersama kelas anda.)

 

            Apabila seseorang melihat kepada cerita mengenai patung emas anak lembu, mudah untuk mengandaikan bahawa umat Israel itu hanya mengambil alih para dewa dari budaya kafir yang berdekatan dan meninggalkan Yahweh. Hakikat ini dilihat melalui ayat-ayat (ayat 1, 4) di mana kaum itu dikatakan sebagai memohon kepada Harun untuk membuat patung dewa untuk mereka dan memujanya sebagai dewa yang telah membawa mereka keluar dari Mesir. Tetapi terdapat juga ayat 5, yang mengatakan bahawa Harun merujuk kepada pest aria yang akan tiba sebagai “satu perayaan kepada Tuhan”, secara literal merujuk kepada Yahweh.

            Jika diambilkira secara bersama, semua ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya beberap di antara umat itu berpendapat bahawa sementara mereka masih menghormati Yahweh, mereka boleh memiliki dewa-dewa lain yang sama dengan bangsa lain di sekeliling mereka.  Mereka akan menganjurkan pesta liar kekafiran ini, tetapi dengan mendedikasikannya sebagai ditujukan kepada Tuhan, mereka seakan-akan membuatnya diterima oleh Tuhan.

            Oleh itu, apa yang sebenarnya kita lihat dalam ayat ini bukanlah suatu kemurtadan terbuka sebagaimana halnya dengan sinkretisme. Sinkretisme ialah menggabungkan sistem agama atau kepercayaan yang bercanggah, yang selalunya dilakukan atas keperluan politik, keinginan peribadi atau kemahuan semata-mata. Sebagaimana halnya dengan tujuan tertentu yang dibuat atas dasar moral atau teologi, pengwajaran terhadap perbuatan sinkretisme mudah dilakukan.

            Contohnya, fikirkan apa kemungkinan berlaku dalam fikiran Harun. Seakan-akan Musa telah hilang tanpa diketahui ke mana dan tanpa kepimpinannya yang berkarisma itu, kesetiaan bangsa itu kepada Yahweh berkurangan. Iman mereka tidak menggambarkan apa yang telah dilakukan untuk mereka sejak kebelakangan itu. Pada satu tahap, kemungkinan Harun takut berlakukan pemberontakan. Pada masa yang sama, dia terlalu setia atau takut untuk terang-terang meninggalkan Yahweh. Mungkin dia telah berpendapat, mengapa tidak biarkan umat itu memiliki secukup mana yang mereka kehendaki untuk mengekalkan mereka dalam lingkungan sehingga Musa kembali? Makah al itu ditetapkan bahawa dia akan memberikan mereka satu dewa palsu, walaupun mereka memohon dewa yang banyak; dan dia akan membuat dewa yang palsu ini sebagai teman Yahweh, orang suruhannya.

            Jika alasan yang cacat di sebalik perbuatan ini tidak jelas kelihatan pada awalnya, ia pasti nyata ketika pest aria itu dimulakan. Lambat laun, Harun dan yang lain segera menyedari bahawa hal ini bukan sekadar suatu penyembahan palsu yang dianggap kecil. Mencampur-adukkan sedikit penyembahan kekafiran dengan “suatu perayaan Tuhan” akan manghasilkan satu perayaan kafir, sama seperti jika mereka dengan mudah meninggalkan Yahweh dan memeluk agama kafir. Sama seperti racun yang dicampur dengan makanan akan menutupi makanan tetapi tidak mengubah sifatnya, penyembahan palsu yang dicampurkan dengan perbaktian sebenar sama dengan penyembahan palsu.

 

Perhatikan Hal Ini: Apakah akibatnya dalam cuba menggabungkan perbaktian kepada Tuhan yang sebenar dengan unsur-unsur yang tidak benar, atau malah suatu yang sama sekali bercanggah? Mengapakah kita cuba melakukannya?

 

LANGKAH 3-Menerapkan

 

Hanya Untuk Guru: Gunakan soalan berikut untuk menekankan pentingnya mengetahui Tuhan dan berusaha untuk mengenali Tuhan sebagai unsur penting dalam perbaktian. Tekankan bagaimana pengetahuan betul terhadap apa dan siapa Tuhan itu sebenarnya akan menghalang penyembahan berhala, atau menyembah dewa yang kita sendiri buat atau bayangkan.

 

Soalan Renungan:

  • Ø Apakah ertinya bila kita mengatakan bahawa kita takut Tuhan? Apakah ia suatu perasaan takut dalam erti bahawa kita takut kepada Tuhan? Jelaskan. Apakah ada erti tertentu di mana kita harus takut kepada Tuhan? Mengapa, atau mengapa tidak?
  • Ø Pada pendapat anda, mengapakah bangsa Israel mempunyai ingatan yang singkat terhadap hal-hal yang Tuhan telah lakukan untuk mereka? Apakah kemungkinan dikatakan oleh hakikat ini mengenai cara mereka menghampiri Tuhan dalam perbaktian dan dalam kehidupan harian mereka?

 

Soalan Penerapan:

  • Ø Dalam Keluaran 3:1–15 kita melihat keengganan awal Musa untuk melakukan apa yang Tuhan minta dilakukannya. Tetapi apabila dia beribadah, dia menyedari bahawa Tuhan mempunyai kuasa yang cukup untuk menggunakanya dalam cara yang berkesan. Bagaimanakah satu ibadaha kepada Tuhan bleh memberikan keyakinan kepada kita?
  • Ø Tuhan adalah yang besar. Terdapat banyak cara yang betul untuk menyembah Dia. Bagaimanakah kita dapat mempastikan cara mana yang sesuai dengan apa yang Alkitab katakan kepada kita sebagai betul dan suatu perbaktian yang jujur secara rohaniah, dan mana satu perbaktian yang bercanggah dengan perbaktian yang benar? Bagaimanakah kita dapat pastikan bahawa pandangan kita dalam hal ini bukan hasil dari sekadar pendapat kita sendiri, atau malah dari prasangka kita?

 

LANGKAH 4-Mewujudkan

 

Hanya Untuk Guru:  Pelajaran ini menekankan perbaktian sebenar yang berpusat kepada Tuhan. Aktiviti berikut adalah bertujuan mendorong ahli-ahli kelas anda untuk memusatkan kehidupan mereka kepada perbaktian dan mengambil keutamaan mereka serta kesedaran diri daripada pengetahuan sebenar tentang Tuhan yang dipelajari melaluinya.

 

Tanya kepada ahli-ahli kelas anda:  Dengan cara apa mereka mengalami apa yang mereka anggap sebagai mukjizat yang sebenar atau apapun yang disampaikan kepada mereka sebagai satu mesej bahawa mereka boleh menjalankan kehidupan dalam semangat keyakinan yang soleh?

 

Alternatif: Bagi bangsa Israel, mereka telah meninggalkan dewa di negeri yang pernah mereka diami. Sementara mereka merupakan umat kepada Tuhan yang agung, yang telah menunjukkan banyak mukjizat dan tanda, mereka masih mengingini dewa-dewa orang Mesir. Sesetengah di antara masih berpendapat bahawa mereka boleh memiliki kedua-duanya. Hari ini kita mempunyai lebih banyak hal-hal yang membawa perhatian kita jauh daripada Tuhan. Sama seperti bangsa Israel, mungkin kita juga berpendapat bahawa kita boleh memiliki “Tuhan dan . . .” Tanya ahli-ahli kelas, bagi mereka apakah anda apa di antara beberapa perkara ini. Bagaimanakah kita boleh meletakkannya di tempat yang sesuai? Atau adakah perlu untuk melupakannya secara keseluruhan sebagaimana halnya dengan dewa-dewa kafir? Sila bincang.

 

About Sekolah Sabat Bahasa Melayu - Sabah

Penterjemah Sekolah Sabat untuk Misi SDA Sabah.
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Pelajaran 2 *2-8 Julai Penyembahan dan Zaman Keluaran: Memahami Siapa Tuhan

  1. Good…sangat2 membantu..terimakasih dgn usaha ini.

  2. bjikat59 says:

    Tahniah saudaraku, Tuhan melihat dan memberi apa yang selayaknya saudara dapat, selamat Hari Sabat Semua

Leave a comment